MUZIK SALAH SATU
GANGGUAN KEPADA PELAJAR
Muzik merupakan satu
hiburan. Setiap orang miliki pandangan sendiri tentang muzik. Menjadi satu
perkara biasa pada masa kini, anak muda
mendengar muzik sambil belajar. Namun tidak semua bersetuju dengan
kaedah ini kerana setiap individu ada persepsi sendiri tentang keperluan
hiburan dalam sesi pembelajaran.Kewujudan variasi muzik yang rancak menimbulkan
persoalan, apakah masih berkesan untuk mendengar muzik sambil belajar? Jawabnya,
tepuk dada tanya selera. Semua bergantung kepada setiap individu tersebut. Satu
fakta yang harus kita akui bahawa muzik merupakan satu wasilah untuk
melapangkan jiwa yang hambar dan fikiran yang berserabut.Kaedah mendengar muzik
sambil belajar merupakan satu tabiat yang tidak asing lagi terutama kepada
siswa siswi di institut pengajian tinggi (IPT). Golongan cerdik pandai ini
memiliki cara tersendiri dalam menuntut ilmu termasuk memilih hiburan sebagai
peneman belajar. Kewujudan pelbagai alatan canggih yang menyajikan pelbagai
jenis lagu untuk didengar turut mendorong pelajar masa kini mendengar muzik
sebagai hiburan belajar.
Muzik
sebagai hiburan sewaktu belajar merupakan alasan yang sering digunakan pelajar
yang memberi reaksi positif terhadap isu ini. Sudah menjadi fitrah, menyanyi
dan mendengar irama memberi kesan positif kepada emosi pendengar. Hal ini
menjadi satu faktor pelajar hari ini mendengar muzik sambil menuntut ilmu.Rasa
mengantuk ketika belajar merupakan perkara biasa yang menganggu proses pembelajaran
pelajar. Mendengar muzik sebagai halwa telinga sedikit sebanyak menyelesaikan
masalah ini. Kebanyakan daripada mereka yang suka mendengar muzik menggunakan
kaedah ini untuk menghalang mereka daripada rasa mengantuk dan lesu. Umpama
menyelam sambil minum air, begitulah juga perumpamaan yang sesuai digunakan
untuk mereka yang belajar sambil mendengar muzik. Hal ini menunjukkan bahawa
individu tersebut mampu membuat dua kerja dalam satu masa. Otak yang ligat
menghafal dan memahami setiap ilmu yang dipelajari sambil dibantu dengan
kerancakan mahupun ketenangan muzik
membuktikan pelajar tesebut memiliki tahap pemikiran yang sangat hebat.
Selain itu, antara kuasa muzik yang
lain adalah mempengaruhi perkembangan diri seseorang. Umum mengetahui,
kehidupan sebagai seorang pelajar mendedahkan kita kepada kehidupan yang
tertekan. Oleh itu, terapi muzik merupakan satu jalan penyelesaian kepada
masalah ini kerana secara tidak langsung boleh membantu mengaktifkan memori
pendengarnya. Menurut seorang mahasiswi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah
Alam, Syafiqah Aliah Shafie, 22 tahun, mendengar muzik merupakan satu keperluan
ketika mengulangkaji pelajaran. Rentak dan irama melalui muzik membuatkan
pelajar lebih bersemangat dan tidak mudah lesu sewaktu belajar. Masa
pembelajaran juga lebih panjang kerana pelajar tidak mudah bosan apabila
belajar sambil mendengar muzik.
Berdasarkan kajian yang dilakukan Persatuan
Kajian Sains Diraja England, janin didalam kandungan ibu turut bertindak balas
dengan suara nyanyian ibunya. Begitu juga menurut islam yang menggalakkan ibu
memperdengarkan alunan al- quran dan zikir yang mana meninggalkan kesan positif
kepada bayi dalam kandungan. Hal ini turut membuktikan alunan muzik ini memberi
satu impak yang positif kepada pendengar. Namun setiap pelajar memandang
keperluan muzik ketika belajar dengan cara yang berbeza, ada pro dan kontranya.
Ada golongan pelajar yang suka pada muzik tetapi tidak sewaktu belajar. Hilang
kosentrasi merupakan salah satu alasan yang sering digunakan untuk menolak
penggunaan muzik dalam sesi pembelajaran.
Belajar merupakan satu ilmu, muzik
merupakan satu hiburan. Fitrah seorang manusia untuk tertarik lebih kepada
hiburan. Hal ini menunjukkan pelajar tidak mudah untuk menerima setiap ilmu
dalam proses pembelajaran dan lebih tertumpu pada setiap bait lagu yang
didengar. Keadan ini menujukkan satu respon yang tidak baik untuk seseorang
pelajar dalam menuntut ilmu.Sedar atau tidak muzik mempengaruhi tingkah laku
dan sahsiah diri kita. Kebanyakan pelajar hari ini mendengar muzik yang rancak
seperti Kpop, rock, RnB dan sebagainya. Jarang sekali untuk mendengar lagu-lagu
yang memberi semangat contohnya seperti lagu nasyid yang diselitkan nasihat
untuk kesucian rohani dan jasmani. Keadaan ini dapat dilihat apabila kebanyakan
daripada mereka tanpa segan silu mengeleng-gelengkan kepala dan mengerakkan
badan walaupun berada di tempat awam yang sememangnya tidak sesuai dalam proses
pembelajaran.
Suasana yang tidak kondusif
ditambah dengan bunyi yang bising mendatangkan rasa tidak selesa sewaktu
belajar. Apa yang ingin dikaitkan disini, muzik sudah terang-terangan akan
mewujudkan suasana yang bising yang mana manghalang proses pembelajaran
terutama ketika menghafal. Keadaan ini juga turut memberi impak negatif bagi
golongan pelajar yang belajar secara berkumpulan. Setiap ahli dalam kumpulan
perlu bertolak ansur kerana ada antara ahli yang tidak boleh belajar dalam
keadaan bising. Bagaikan masuk telinga kanan,keluar telinga kiri. Belajar
sambil mendengar muzik biasanya menjadikan proses menuntut ilmu menjadi
sia-sia. Bukan ilmu yang terpahat didalam memori kita tetapi lebih kepada lagu
yang didengar. Ini menunjukkan impak negatif muzik kepada pelajar yang memilih
muzik sebagai peneman sewaktu belajar.
Konklusinya,
muzik merupakan suatu yang subjektif. Masing-masing mempunyai pandangan atau
pendapat sendiri dalam memberi ulasan tentang keperluan muzik. Sebagai pelajar,
kita harus bijak menggunakan kelebihan muzik dan tidak terjebak dalam kesan
negatif muzik. Bergantung kepada setiap pelajar sama ada menjadikan muzik
sebgai teman belajar tetapi jangan sampai muzik menjadi satu gangguan.