Friday, 23 February 2018

MUZIK SALAH SATU GANGGUAN KEPADA PELAJAR



MUZIK SALAH SATU GANGGUAN KEPADA PELAJAR 

            Muzik merupakan satu hiburan. Setiap orang miliki pandangan sendiri tentang muzik. Menjadi satu perkara biasa pada masa kini, anak muda  mendengar muzik sambil belajar. Namun tidak semua bersetuju dengan kaedah ini kerana setiap individu ada persepsi sendiri tentang keperluan hiburan dalam sesi pembelajaran.Kewujudan variasi muzik yang rancak menimbulkan persoalan, apakah masih berkesan untuk mendengar muzik sambil belajar? Jawabnya, tepuk dada tanya selera. Semua bergantung kepada setiap individu tersebut. Satu fakta yang harus kita akui bahawa muzik merupakan satu wasilah untuk melapangkan jiwa yang hambar dan fikiran yang berserabut.Kaedah mendengar muzik sambil belajar merupakan satu tabiat yang tidak asing lagi terutama kepada siswa siswi di institut pengajian tinggi (IPT). Golongan cerdik pandai ini memiliki cara tersendiri dalam menuntut ilmu termasuk memilih hiburan sebagai peneman belajar. Kewujudan pelbagai alatan canggih yang menyajikan pelbagai jenis lagu untuk didengar turut mendorong pelajar masa kini mendengar muzik sebagai hiburan belajar.

Muzik sebagai hiburan sewaktu belajar merupakan alasan yang sering digunakan pelajar yang memberi reaksi positif terhadap isu ini. Sudah menjadi fitrah, menyanyi dan mendengar irama memberi kesan positif kepada emosi pendengar. Hal ini menjadi satu faktor pelajar hari ini mendengar muzik sambil menuntut ilmu.Rasa mengantuk ketika belajar merupakan perkara biasa yang menganggu proses pembelajaran pelajar. Mendengar muzik sebagai halwa telinga sedikit sebanyak menyelesaikan masalah ini. Kebanyakan daripada mereka yang suka mendengar muzik menggunakan kaedah ini untuk menghalang mereka daripada rasa mengantuk dan lesu. Umpama menyelam sambil minum air, begitulah juga perumpamaan yang sesuai digunakan untuk mereka yang belajar sambil mendengar muzik. Hal ini menunjukkan bahawa individu tersebut mampu membuat dua kerja dalam satu masa. Otak yang ligat menghafal dan memahami setiap ilmu yang dipelajari sambil dibantu dengan kerancakan mahupun ketenangan  muzik membuktikan pelajar tesebut memiliki tahap pemikiran yang sangat hebat.

            Selain itu, antara kuasa muzik yang lain adalah mempengaruhi perkembangan diri seseorang. Umum mengetahui, kehidupan sebagai seorang pelajar mendedahkan kita kepada kehidupan yang tertekan. Oleh itu, terapi muzik merupakan satu jalan penyelesaian kepada masalah ini kerana secara tidak langsung boleh membantu mengaktifkan memori pendengarnya. Menurut seorang mahasiswi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Syafiqah Aliah Shafie, 22 tahun, mendengar muzik merupakan satu keperluan ketika mengulangkaji pelajaran. Rentak dan irama melalui muzik membuatkan pelajar lebih bersemangat dan tidak mudah lesu sewaktu belajar. Masa pembelajaran juga lebih panjang kerana pelajar tidak mudah bosan apabila belajar sambil mendengar muzik.

 Berdasarkan kajian yang dilakukan Persatuan Kajian Sains Diraja England, janin didalam kandungan ibu turut bertindak balas dengan suara nyanyian ibunya. Begitu juga menurut islam yang menggalakkan ibu memperdengarkan alunan al- quran dan zikir yang mana meninggalkan kesan positif kepada bayi dalam kandungan. Hal ini turut membuktikan alunan muzik ini memberi satu impak yang positif kepada pendengar. Namun setiap pelajar memandang keperluan muzik ketika belajar dengan cara yang berbeza, ada pro dan kontranya. Ada golongan pelajar yang suka pada muzik tetapi tidak sewaktu belajar. Hilang kosentrasi merupakan salah satu alasan yang sering digunakan untuk menolak penggunaan muzik dalam sesi pembelajaran.

            Belajar merupakan satu ilmu, muzik merupakan satu hiburan. Fitrah seorang manusia untuk tertarik lebih kepada hiburan. Hal ini menunjukkan pelajar tidak mudah untuk menerima setiap ilmu dalam proses pembelajaran dan lebih tertumpu pada setiap bait lagu yang didengar. Keadan ini menujukkan satu respon yang tidak baik untuk seseorang pelajar dalam menuntut ilmu.Sedar atau tidak muzik mempengaruhi tingkah laku dan sahsiah diri kita. Kebanyakan pelajar hari ini mendengar muzik yang rancak seperti Kpop, rock, RnB dan sebagainya. Jarang sekali untuk mendengar lagu-lagu yang memberi semangat contohnya seperti lagu nasyid yang diselitkan nasihat untuk kesucian rohani dan jasmani. Keadaan ini dapat dilihat apabila kebanyakan daripada mereka tanpa segan silu mengeleng-gelengkan kepala dan mengerakkan badan walaupun berada di tempat awam yang sememangnya tidak sesuai dalam proses pembelajaran.

            Suasana yang tidak kondusif ditambah dengan bunyi yang bising mendatangkan rasa tidak selesa sewaktu belajar. Apa yang ingin dikaitkan disini, muzik sudah terang-terangan akan mewujudkan suasana yang bising yang mana manghalang proses pembelajaran terutama ketika menghafal. Keadaan ini juga turut memberi impak negatif bagi golongan pelajar yang belajar secara berkumpulan. Setiap ahli dalam kumpulan perlu bertolak ansur kerana ada antara ahli yang tidak boleh belajar dalam keadaan bising. Bagaikan masuk telinga kanan,keluar telinga kiri. Belajar sambil mendengar muzik biasanya menjadikan proses menuntut ilmu menjadi sia-sia. Bukan ilmu yang terpahat didalam memori kita tetapi lebih kepada lagu yang didengar. Ini menunjukkan impak negatif muzik kepada pelajar yang memilih muzik sebagai peneman sewaktu belajar.

Konklusinya, muzik merupakan suatu yang subjektif. Masing-masing mempunyai pandangan atau pendapat sendiri dalam memberi ulasan tentang keperluan muzik. Sebagai pelajar, kita harus bijak menggunakan kelebihan muzik dan tidak terjebak dalam kesan negatif muzik. Bergantung kepada setiap pelajar sama ada menjadikan muzik sebgai teman belajar tetapi jangan sampai muzik menjadi satu gangguan.

No comments:

Post a Comment